Puteri Santubong , Puteri Sejenjang
Puteri Santubong dan Puteri
Sejenjang ialah dua orang puteri dewa kayangan yang mempunyai paras rupa dan
kecantikan yang tiada tolok bandingnya ketika itu. Sesiapa sahaja yang
memandang pasti akan terpikat.
Paras kedua-dua puteri anak
dewa dari kayangan itu bagaikan purnama menghias alam, bersinar-sinar
bergemerlapan. Alis mata, yang lentik dan ekor mata seperti seroja biru di
kolam madu.
Walaupun ketinggian tubuh
mereka hanyalah sederhana tetapi suara mereka cukup merdu seperti seruling
bambu. Inilah kelebihan yang terdapat pada Puteri Santubong dan Puteri
Sejenjang.
Kehidupan Puteri Santubong
dan Puteri Sejenjang amat mesra sekali. Mereka diibaratkan adik-beradik kembar.
Senyuman dan kegembiraan sentiasa bermain dibibir. Bergurau dan bersenda tidak
lekang daripada keduanya. Mereka sentiasa sepakat dan sekata. Demikianlah
kehidupan yang mereka lalui setiap hari.
“Sejenjang, selepas
selesainya kerja kita berdua ini, kita bermain-main, mahu?” Tanya Puteri
Santubong kepada Puteri Sejenjang yang asyik menumbuk padi.
“Baiklah. Tapi kita mahu main apa ya?” balas Puteri Sejenjang.
“Kita main sorok-sorok di
taman bunga di halaman sana. Lepas itu kita petik bunga-bunga yang telah mekar
di taman.”
“Yalah Santubong! Sudah lama
juga kita tidak memetik bunga-bunga di taman sana.” Menantikan saat itu,
kedua-duanya meneruskan pekerjaan masing-masing hingga selesai.
Pekerjaan Puteri Santubong
dari siang hingga malam hanyalah menenun kain. Manakala Puteri Sejenjang pula
asyik dengan menumbuk padi.
Pada suatu hari, ketika
Puteri Santubong leka menenun kain dan Puteri Sejenjang asyik menumbuk padi,
berbual-buallah mereka tentang kecantikan diri masing-masing. Mereka
memuji-muji tentang kelebihan diri sendiri.
“Sejenjang! Kau lihat tak
diri aku yang serba tidak cacat ini! Dengan duduk menenun seperti ini, aku
dapat menjaga kerampingan pinggangku ini. Aku pasti suatu hari nanti, bila anak
raja sampai ke mari, dia akan melamar dan mengahwini aku. Aduh! Betapa
bahagianya di saat itu, Sejenjang?” Tanya Santubong kepada Sejenjang yang asyik
menumbuk padi.
Puteri Santubong terus
memuji-muji akan kecantikan dirinya.
“Bila aku sudah diam di
istana nanti, tentunya dayang-dayang mengelilingi aku, sambil menyikat-nyikat
rambutku yang mengurai ini. Nanti mereka akan berkata, inilah anak dewa
kayangan yang paling cantik pernah mereka temui. Saat itu akulah tuan puteri
yang paling cantik di dunia ini.”
Puteri Sejenjang yang asyik
menumbuk padi mulai merasa marah dan cuba menentang kata-kata Puteri Santubong
yang menganggap dirinya sahajalah yang paling cantik. Puteri Sejenjang
menyatakan dirinya yang paling cantik dan rupawan. Kecantikannya mengalahi
paras rupa Puteri Santubong.
“Tidakkah kau tahu
Santubong? Dengan cara berdiri menumbuk padi begini menjadikan tubuhku ini,
kuat dan tegap. Subur menawan. Leher juga jinjang. Betis bagaikan bunting
padi.”
“Dengan menumbuk padi ini
juga jari-jemariku halus dan lenganku ini serasa tegap daripada engkau yang
asyik bongkok menenun kain. Entah nanti, engkau cepat pula rebah ke bumi. Takut
pula anak raja itu melamar aku dahulu,” balas Puteri Sejenjang.
Mendengar kata-kata Puteri
Sejenjang, Puteri Santubong enggan mengalah. Puteri Sejenjang juga pantang
menyerah. Masing-masing mahu dipuji.
Akhirnya, pertengkaran antara Puteri
Santubong dan Puteri Sejenjang semakin hangat. Masing-masing tidak dapat
mengawal perasaan mereka lagi. Pertengkaran antara keduanya berlarutan.
Daripada nada suara yang
rendah bertukar menjadi lantang sambil mencaci-caci dan menghina antara satu
dengan yang lain.
“Sejenjang! Kalau asyik
pegang antan, jangan harap betis kau tu akan jadi bunting padi. Takut lemak tak
berisi. Dek antan tu jugalah jari-jemari kau tu, kesat dan kasar. Tidak seperti
jari-jemariku ini yang halus serta runcing,” kata Puteri Santubong dengan
bangga.
Dengan perasaan penuh dendam
dan dengan amat marah, Puteri Sejenjang hilang sabar lalu menyerang Puteri
Santubong dengan antan di tangan. Ayunan pukulan Puteri Sejenjang amat kuat dan
cepat, lalu terkenalah ke pipi Puteri Santubong yang sedang duduk menenun kain.
Menjeritlah Puteri Santubong kerana kesakitan.
Puteri Santubong bertambah
marah. Puteri Santubong juga tidak berdiam diri, lantas menikam Puteri
Sejenjang dengan batang belidah yang ada dalam genggamannya. Tikaman itu tepat
ke arah kepala
Puteri Sejenjang dan
menembusinya. Maka menjeritlah pula Puteri Sejenjang sekuat-kuatnya akibat
kesakitan tikaman tersebut. Berakhirlah sebuah persahabatan dan persaudaraan
yang telah dijalin oleh mereka selama ini.
Kononnya akibat pergaduhan
dan ayunan antan puteri Sejenjang yang terkena ke pipi Puteri Santubong
menyebabkan Gunung Santubong telah terpecah menjadi dua seperti yang dilihat
pada hari ini. Demikian juga dengan tikaman batang belidah oleh Puteri
Santubong yang mengenai tepat ke kepala Puteri Sejenjang, menyebabkan Bukit
Sejenjang pecah bertaburan menjadi pulau-pulau kecil berhampiran Gunung
Santubong.
Kisah sedih di antara Puteri
Santubong dan Puteri Sejenjang akhirnya menjadi kenangan dan ingatan rakyat
Sarawak. Maka lahirlah lagenda Puteri Santubong dan Puteri Sejenjang yang kita
dengar sehingga ke hari ini.
Oh……Puteri Santubong,
Sejinjang sayang,
Kisah lama, Zaman mensia
maya.
Puteri Santubong, Puteri
Sejinjang,
Penjaga gunung Negeri
Sarawak,
Manis sik ada dapat dilawan,
Anak dak Dewa turun
kayangan.
Oh……
Santubong puteri bertenun
kain malam,
Oh……
Sejinjang puteri menumbuk
padi siang.
Satu hari nya dua kelahi,
Beranuk anuk sik
renti-renti,
Seorang madah dirik bagus
agik,
Seorang sik ngalah walau
sampai ke mati.
Udah lejuk nya duak kelahi,
Lalu bertukuk nya duak
puteri,
Sejinjang mengayun aluk ke
pipi,
Tebik Santubong sampai gituk
ari.
Tapi Santubong membalas
juak,
Lalu ditikam batang belidak,
Sampei terkena Sejinjang
kepala,
Lalu bertabor jadi Pulo
Kera.
Kisah Santubong, kisah
Sejinjang,
Asal berkawan jadi musuhan,
Kinik tuk tinggal jadi
kenangan,
Pakei ingatan sepanjang
zaman.
No comments:
Post a Comment