Mat Jenin
Syahadan, maka tersebutlah
kisah seorang pemuda yatim piatu yang dikenali sebagai Mat Jenin. Pemuda itu
hidup sebatang kara di sebuah desa di gerubuk peninggalan ibubapanya. Gerubuk
itu teramatlah daifnya dengan dindingnya yang senget dan atap rumah yang bocor
apabila hujan turun dengan lebatnya. Akan tetapi semua itu tidaklah dipedulikan
oleh Mat Jenin kerana dia amat malas membuat kerja.
Malah untuk membaiki gerubuk
pusaka itu pun tidak di pedulikannya. kerjanya pula sehari-harian hanyalah
memasang angan-angan. Maka mashyurlah seluruh daerah itu tentang tabiat dan
perangainya itu menjadi buah mulut orang. Akan apabila Mat Jenin berasa lapar,
pergilah ia ke kedai makan dan duduk menunggu di situ kalau-kalau ada orang
yang baik hati yang akan menanggung makan-minumnya.
Maka kalau ada sesiapa yang
ingin berseronok, segeralah dia menegur Mat Jenin bertanyakan angan-angannya
yang terbaru. Mat Jenin pun bersegeralah menceritakan angan-angannya itu tanpa
bertangguh lagi apatah lagi jika yang menegur itu pula menyuruh dia meminta
apa-apa makanan yang diingini. Maka Mat Jenin akan bercerita sehingga sehari
suntuk tidaklah dia mahu berhenti.
Apabila kerbau sudahpun
balik ke kandang, ayam dan itik pulang ke sarang, api menyala di dian, barulah
dia balik ke gerubuk buruknya itu untuk tidur. Angin ribut yang bertiup pun
tidak dibimbangnya, malah jikalau gerubuk buruknya bergegar dipukul angin, dia
hanyalah menarik kain selimutnya dengan lebih rapat lagi sambil berangan-angan.
Katanya jikalaulah roboh
gerubuk itu, tentulah jiran-jiran sekeliling akan membantu dia membina rumah
baru. Jadi tidaklah lagi dia perlu bersusah-payah membaiki teratak buruk itu.
Akan begitulah kerja Mat Jenin itu sehari-hariani. Jika apabila tidak ada orang
yang hendak membayar makan-minumnya barulah dia mencari kerja. Tetapi kerja
yang dibuatnya pula dipilih-pilih, tidaklah dia ingin membanting tulang di
sawah padi kerana panas, ataupun pergi menangkap ikan kerana mabuk katanya.
Oleh itu apa yang sanggup dilakukan oleh Mat Jenin hanyalah memanjat pokok
kelapa, kerana menurutnya kerja itu teduh dan berangin pula. Itupun Mat Jenin
hanyalah mengambil upah memanjat pokok kelapa apabila dia memerlukan duit
belanja.
Tersebutlah pada suatu hari
nasib Mat Jenin tidak begitu baik kerana tidak ada orang yang ingin membayar
makan-minumnya. Maka terpaksalah dia mencari-cari sesiapa yang ingin
mengupahnya memanjat pokok kelapa. Tetapi lebih malang lagi nasibnya itu, pada
hari itu dia tidak berjumpa dengan sesiapa pun yang memerlukan kelapanya
dipetik. Maka terpaksalah dia merayau-rayau sekeliling kampung dalam keadaan
kelaparan. Sedang dia duduk berfikir-fikir seorang diri tentang apa yang perlu
dilakukannya maka nampaklah olehnya seorang nenek tua sedang mendongak-dongak
ke atas melihat-lihat buah kelapa.
"Nenek nak kelapa? Saya
boleh tolong panjatkan." sapa Mat Jenin
Nenek itu berpaling ke arah
Mat Jenin
"Memang nenek mencari
buah kelapa untuk memasak. Boleh ke cucu tolong petikkan untuk nenek?"
"Sudah tentu boleh
nenek. tetapi apa yang nenek boleh berikan kepada cucu sekiranya cucu tolong
petikkan buah kelapa nenek?" tanya Mat Jenin.
Jawab nenek tua itu,
"Nenek tak ada banyak benda nak nenek beri. Tetapi kalau cucu sanggup
petikkan buah kelapa ini untuk nenek, bolehlah cucu makan sekali dengan nenek.
Lagipun nenek boleh berikan beberapa biji telur ayam untuk cucu."
"Saya nak buat apa
telur ayam tu." kata Mat Jenin.
"Telur ayam ini kalau
cucu eramkan, nanti akan menetas. Bolehlah cucu membela ayam,"jawab nenek
itu lagi. Mat Jenin duduk berfikir sejenak di dalam hatinya, kalau telur itu
menetas sudah tentu aku akan dapat membela ayam untuk aku jual.
" Baiklah nenek,
sangguplah saya memanjat kelapa ini untuk nenek."
Setelah berkata demikian,
maka Mat Jenin pun mulalah memanjat pokok kelapa itu. Ketika mula hendak
memanjat itu, dia asyik berfikir tentang kata-kata nenek itu maka hatinya
bertambah girang.
"Kalau aku eramkan
telur-telur itu tentulah telur-telur itu menetas. Bolehlah aku biarkan
ayam-ayam itu sekeliling gerubuk aku sehingga besar. Apabila sudah besar
bolehlah aku makan." Setelah berfikir demikian, dia pun berpaling kepada
nenek itu dan berkata,
"Kalau telur-telur itu
menetas bolehlah saya makan ayamkan, nenek?"
Nenek tua itu kehairanan
tetapi terus sahaja menjawab "Betul cu."
Sambil Mat Jenin
berangan-angan, dia terus memanjat pokok kelapa itu semakin tinggi.
"Tetapi kalau aku
biarkan ayam-ayam itu bertelur tentulah semakin banyak ayam-ayamaku membiak.
Jadi tentunya aku akan dapat banyak daging dan telur untuk aku makan.Tetapi kalau
terlalu banyak tentu susah aku menjaganya. Jadi baik aku tukarkan ayam-ayam itu
dengan kambing tentu lebih beruntung. Bolehlah aku biarkan kambing-kambing itu
mencari makan di keliling gerubuk aku. Tak perlu aku bersusah payah memanjat
pokok kelapa lagi. Dan lagi tidak perlulah aku risau-risaukan menjaga ayam-ayam
itu banyak-banyak." fikirnya lagi.
Setelah berfikir demikian,
dia pun berpaling kepada nenek itu dan berkata
"Kalau ayam-ayam itu saya jual bolehlah
saya dapatkan kambing, kan nenek?" Nenek tua itu berasa geli hati
mendengarkan kata-kata Mat Jenin itu tetapi dia terus menjawab
"Betul tu cu."
Mat Jenin memanjat semakin
tinggi, sambil itu dia berangan-angan semakin tinggi,"Kalau aku sudah
banyak kambing, aku akan tukarkan dengan lembu pula. Lagipun lembu itu lebih
gemuk dan banyak dagingnya. Tentu aku bertambah kaya dan dihormati orang."
Sekali lagi dia menoleh ke bawah melihat nenek itu,
"Kalau saya tukarkan kambing
itu dengan lembu tentu lagi baik, kan nenek?" dia menjerit ke bawah. Nenek
itu terus menjawab
"Betul tu cu.."
sambil tersenyum-senyum, menampakkan gusinya yang tidak bergigi itu. Nasib baik
Mat Jenin sudah jauh di atas pokok kelapa dan tidak nampak nenek itu
mentertawakan dia. Mat Jenin semakin kuat berangan-angan,
"Kalau aku sudah dapat
membela lembu, tentu aku dapat mengupah orang untuk menjaga lembu-lembu itu
sehingga beranak pinak. Jadi aku akan dapat lebih banyak lembu, aku akan jadi
kaya. Tak perlulah aku susah payah berkerja lagi . Bolehlah aku membela kerbau
pula nanti."
Sekali lagi dia memekik ke
bawah, "Nenek! kalau saya sudah banyak lembu bolehlah saya tukarkan dengan
kerbau pula ye, nenek. Kayalah saya masa itu." Sekali lagi nenek itu
menjawap,
"Betul tu cu."
"Kalau cu sudah kaya bolehlah cucu berkahwin." tambahnya lagi. Mat Jenin
mengangguk-anggukkan kepalanya, "Kawin!"
Dia terus memanjat semakin
tinggi meninggalkan nenek itu sayup-sayup di bawah sana.
Ya!Ya! Kalau selama ini tidak ada perempuan yang ingin memandang mukanya kerana
kemiskinannya, tentu akan berebut-rebutlah perempuan yang gilakannya setelah
dia kaya nanti. Tetapi, masa itu dia tidak akan melayan perempuan- perempuan
itu. Dia sudah pun kaya dan tentu dia dapat memilih siapa calon isterinya
nanti. Ya! Ya! dia sudah tentu memilih isterinya dari perempuan-perempuan yang
istimewa. Dia akan memilih puteri raja.
"Nenek! Saya akan kahwin dengan puteri
raja." jeritnya ke bawah. Jawapan nenek itu hanya sayup-sayup, tidak
didengarinya kerana dia sudah pun tinggi di atas pokok kelapa.
"Tentu aku akan
mempunyai ramai anak." fikirnya lagi sambil tersenyum- senyum. "Dan
mereka akan berlari-lari membuat bising. Isteri aku tentu akan mengidamkan
perhiasan emas dan meminta dari aku. tetapi aku tidak akan beri. Kalau dia
membuat bising, tentu aku akan tampar dia seperti ini." Serentak dengan
itu Mat Jenin melepaskan pelukannya dan menampar pelepah kelapa itu sambil
menengking
"Jangan nak mengada
mintak barang kemas dari aku.", dan ketika itu bertempiaranlah seekor
tupai yang sedang menyorok di celah pelepah kelapa itu, mengejutkan Mat Jenin
dari angan-angannya itu. Mat Jenin terkejut besar sehinggakan terlepaslah
pegangannya dari pokok kelapa itu.Maka jatuhlah dia dari pokok kelapa itu
sampai ke bawah, berdebuk seperti buah kelapa tua yang luruh bunyinya.
Terkejutlah nenek tua itu melihatkan
Mat Jenin terjatuh dan bersegeralah dia meluru untuk memberikan pertolongan
Malangnya Mat Jenin telah mati di situ juga. Maka dengan itu tamatlah riwayat
Mat Jenin yang terlampau suka berangan-angan sehinggakan menjadi mangsa
angan-angannya itu sendiri. Demikianlah diceritakan orang kisah Mat Jenin yang
malang.
No comments:
Post a Comment