Wednesday, June 7, 2017

Mat Jenin


Mat Jenin

Syahadan, maka tersebutlah kisah seorang pemuda yatim piatu yang dikenali sebagai Mat Jenin. Pemuda itu hidup sebatang kara di sebuah desa di gerubuk peninggalan ibubapanya. Gerubuk itu teramatlah daifnya dengan dindingnya yang senget dan atap rumah yang bocor apabila hujan turun dengan lebatnya. Akan tetapi semua itu tidaklah dipedulikan oleh Mat Jenin kerana dia amat malas membuat kerja.

Malah untuk membaiki gerubuk pusaka itu pun tidak di pedulikannya. kerjanya pula sehari-harian hanyalah memasang angan-angan. Maka mashyurlah seluruh daerah itu tentang tabiat dan perangainya itu menjadi buah mulut orang. Akan apabila Mat Jenin berasa lapar, pergilah ia ke kedai makan dan duduk menunggu di situ kalau-kalau ada orang yang baik hati yang akan menanggung makan-minumnya.

Maka kalau ada sesiapa yang ingin berseronok, segeralah dia menegur Mat Jenin bertanyakan angan-angannya yang terbaru. Mat Jenin pun bersegeralah menceritakan angan-angannya itu tanpa bertangguh lagi apatah lagi jika yang menegur itu pula menyuruh dia meminta apa-apa makanan yang diingini. Maka Mat Jenin akan bercerita sehingga sehari suntuk tidaklah dia mahu berhenti.

Apabila kerbau sudahpun balik ke kandang, ayam dan itik pulang ke sarang, api menyala di dian, barulah dia balik ke gerubuk buruknya itu untuk tidur. Angin ribut yang bertiup pun tidak dibimbangnya, malah jikalau gerubuk buruknya bergegar dipukul angin, dia hanyalah menarik kain selimutnya dengan lebih rapat lagi sambil berangan-angan.

Katanya jikalaulah roboh gerubuk itu, tentulah jiran-jiran sekeliling akan membantu dia membina rumah baru. Jadi tidaklah lagi dia perlu bersusah-payah membaiki teratak buruk itu. Akan begitulah kerja Mat Jenin itu sehari-hariani. Jika apabila tidak ada orang yang hendak membayar makan-minumnya barulah dia mencari kerja. Tetapi kerja yang dibuatnya pula dipilih-pilih, tidaklah dia ingin membanting tulang di sawah padi kerana panas, ataupun pergi menangkap ikan kerana mabuk katanya. Oleh itu apa yang sanggup dilakukan oleh Mat Jenin hanyalah memanjat pokok kelapa, kerana menurutnya kerja itu teduh dan berangin pula. Itupun Mat Jenin hanyalah mengambil upah memanjat pokok kelapa apabila dia memerlukan duit belanja.

Tersebutlah pada suatu hari nasib Mat Jenin tidak begitu baik kerana tidak ada orang yang ingin membayar makan-minumnya. Maka terpaksalah dia mencari-cari sesiapa yang ingin mengupahnya memanjat pokok kelapa. Tetapi lebih malang lagi nasibnya itu, pada hari itu dia tidak berjumpa dengan sesiapa pun yang memerlukan kelapanya dipetik. Maka terpaksalah dia merayau-rayau sekeliling kampung dalam keadaan kelaparan. Sedang dia duduk berfikir-fikir seorang diri tentang apa yang perlu dilakukannya maka nampaklah olehnya seorang nenek tua sedang mendongak-dongak ke atas melihat-lihat buah kelapa.

"Nenek nak kelapa? Saya boleh tolong panjatkan." sapa Mat Jenin
Nenek itu berpaling ke arah Mat Jenin

"Memang nenek mencari buah kelapa untuk memasak. Boleh ke cucu tolong petikkan untuk nenek?"

"Sudah tentu boleh nenek. tetapi apa yang nenek boleh berikan kepada cucu sekiranya cucu tolong petikkan buah kelapa nenek?" tanya Mat Jenin.

Jawab nenek tua itu, "Nenek tak ada banyak benda nak nenek beri. Tetapi kalau cucu sanggup petikkan buah kelapa ini untuk nenek, bolehlah cucu makan sekali dengan nenek. Lagipun nenek boleh berikan beberapa biji telur ayam untuk cucu."

"Saya nak buat apa telur ayam tu." kata Mat Jenin.

"Telur ayam ini kalau cucu eramkan, nanti akan menetas. Bolehlah cucu membela ayam,"jawab nenek itu lagi. Mat Jenin duduk berfikir sejenak di dalam hatinya, kalau telur itu menetas sudah tentu aku akan dapat membela ayam untuk aku jual.

" Baiklah nenek, sangguplah saya memanjat kelapa ini untuk nenek."
Setelah berkata demikian, maka Mat Jenin pun mulalah memanjat pokok kelapa itu. Ketika mula hendak memanjat itu, dia asyik berfikir tentang kata-kata nenek itu maka hatinya bertambah girang.

"Kalau aku eramkan telur-telur itu tentulah telur-telur itu menetas. Bolehlah aku biarkan ayam-ayam itu sekeliling gerubuk aku sehingga besar. Apabila sudah besar bolehlah aku makan." Setelah berfikir demikian, dia pun berpaling kepada nenek itu dan berkata,

"Kalau telur-telur itu menetas bolehlah saya makan ayamkan, nenek?"
Nenek tua itu kehairanan tetapi terus sahaja menjawab "Betul cu."
Sambil Mat Jenin berangan-angan, dia terus memanjat pokok kelapa itu semakin tinggi.

"Tetapi kalau aku biarkan ayam-ayam itu bertelur tentulah semakin banyak ayam-ayamaku membiak. Jadi tentunya aku akan dapat banyak daging dan telur untuk aku makan.Tetapi kalau terlalu banyak tentu susah aku menjaganya. Jadi baik aku tukarkan ayam-ayam itu dengan kambing tentu lebih beruntung. Bolehlah aku biarkan kambing-kambing itu mencari makan di keliling gerubuk aku. Tak perlu aku bersusah payah memanjat pokok kelapa lagi. Dan lagi tidak perlulah aku risau-risaukan menjaga ayam-ayam itu banyak-banyak." fikirnya lagi.

Setelah berfikir demikian, dia pun berpaling kepada nenek itu dan berkata

"Kalau ayam-ayam itu saya jual bolehlah saya dapatkan kambing, kan nenek?" Nenek tua itu berasa geli hati mendengarkan kata-kata Mat Jenin itu tetapi dia terus menjawab

"Betul tu cu."

Mat Jenin memanjat semakin tinggi, sambil itu dia berangan-angan semakin tinggi,"Kalau aku sudah banyak kambing, aku akan tukarkan dengan lembu pula. Lagipun lembu itu lebih gemuk dan banyak dagingnya. Tentu aku bertambah kaya dan dihormati orang." Sekali lagi dia menoleh ke bawah melihat nenek itu,

"Kalau saya tukarkan kambing itu dengan lembu tentu lagi baik, kan nenek?" dia menjerit ke bawah. Nenek itu terus menjawab

"Betul tu cu.." sambil tersenyum-senyum, menampakkan gusinya yang tidak bergigi itu. Nasib baik Mat Jenin sudah jauh di atas pokok kelapa dan tidak nampak nenek itu mentertawakan dia. Mat Jenin semakin kuat berangan-angan,

"Kalau aku sudah dapat membela lembu, tentu aku dapat mengupah orang untuk menjaga lembu-lembu itu sehingga beranak pinak. Jadi aku akan dapat lebih banyak lembu, aku akan jadi kaya. Tak perlulah aku susah payah berkerja lagi . Bolehlah aku membela kerbau pula nanti."

Sekali lagi dia memekik ke bawah, "Nenek! kalau saya sudah banyak lembu bolehlah saya tukarkan dengan kerbau pula ye, nenek. Kayalah saya masa itu." Sekali lagi nenek itu menjawap,

"Betul tu cu." "Kalau cu sudah kaya bolehlah cucu berkahwin." tambahnya lagi. Mat Jenin mengangguk-anggukkan kepalanya, "Kawin!"

Dia terus memanjat semakin tinggi meninggalkan nenek itu sayup-sayup di bawah sana.

Ya!Ya! Kalau selama ini tidak ada perempuan yang ingin memandang mukanya kerana kemiskinannya, tentu akan berebut-rebutlah perempuan yang gilakannya setelah dia kaya nanti. Tetapi, masa itu dia tidak akan melayan perempuan- perempuan itu. Dia sudah pun kaya dan tentu dia dapat memilih siapa calon isterinya nanti. Ya! Ya! dia sudah tentu memilih isterinya dari perempuan-perempuan yang istimewa. Dia akan memilih puteri raja.

"Nenek! Saya akan kahwin dengan puteri raja." jeritnya ke bawah. Jawapan nenek itu hanya sayup-sayup, tidak didengarinya kerana dia sudah pun tinggi di atas pokok kelapa.

"Tentu aku akan mempunyai ramai anak." fikirnya lagi sambil tersenyum- senyum. "Dan mereka akan berlari-lari membuat bising. Isteri aku tentu akan mengidamkan perhiasan emas dan meminta dari aku. tetapi aku tidak akan beri. Kalau dia membuat bising, tentu aku akan tampar dia seperti ini." Serentak dengan itu Mat Jenin melepaskan pelukannya dan menampar pelepah kelapa itu sambil menengking

"Jangan nak mengada mintak barang kemas dari aku.", dan ketika itu bertempiaranlah seekor tupai yang sedang menyorok di celah pelepah kelapa itu, mengejutkan Mat Jenin dari angan-angannya itu. Mat Jenin terkejut besar sehinggakan terlepaslah pegangannya dari pokok kelapa itu.Maka jatuhlah dia dari pokok kelapa itu sampai ke bawah, berdebuk seperti buah kelapa tua yang luruh bunyinya.


Terkejutlah nenek tua itu melihatkan Mat Jenin terjatuh dan bersegeralah dia meluru untuk memberikan pertolongan Malangnya Mat Jenin telah mati di situ juga. Maka dengan itu tamatlah riwayat Mat Jenin yang terlampau suka berangan-angan sehinggakan menjadi mangsa angan-angannya itu sendiri. Demikianlah diceritakan orang kisah Mat Jenin yang malang.

Saturday, June 3, 2017

Orang Kaya Kedekut


Orang Kaya Kedekut

Tersebutlah kisah seorang lelaki kaya bernama Kelana. Dia tinggal di sebuah pulau. Dia berniaga di pelabuhan.

Kelana sangat kedekut orangnya. Dia tidak pernah memberi sedekah atau bantuan kepada sesiapa pun. Kelana akan menghalau setiap fakir miskin yang datang meminta sedekah.

Pada suatu hari, Kelana mendapat tahu ada sekumpulan perompak sedang bermaharajalela di pulau itu. Kelana bimbang mendengar berita ini. Dia hendak menyembunyikan peti-peti wangnya.

Kelana mahu membawa lari semua peti wangnya. Perompak sudah tentu tidak dapat mengambil wangnya.

Kelana membawa isteri dan anak-anaknya serta peti-peti wangnya ke kapal. Mereka hendak berlayar menuju ke negeri lain. Sewaktu kapal itu berlayar di tengah laut, tiba-tiba angin kencang bertiup. Semua orang di dalam kapal berasa cemas.

“Apa kita nak buat sekarang?” tanya Kelana.

“Kita buang saja kesemua peti tuan yang berat ni ke dalam laut,” kata nakhoda kapal.

“Memang benar kata nakhoda tu bang. Buang saja peti-peti wang itu. Kalau tidak kita akan tenggelam,” kata Kuntum, isteri Kelana.

Kelana tidak bersetuju.

“Yang mana Tuan Kelana sayang, nyawa Tuan Kelana bersama isteri dan anak-anak atau peti-peti wang ini?” tanya nakhoda.


Melihat kapal hendak karam, mahu tidak mahu peti-peti wang itu terpaksa dibuang ke dalam laut. Kapal itu kemudian jadi ringan dan akhirnya mereka selamat sampai ke pantai negeri yang dituju.

Puteri Santubong , Puteri Sejenjang


Puteri Santubong , Puteri Sejenjang

Puteri Santubong dan Puteri Sejenjang ialah dua orang puteri dewa kayangan yang mempunyai paras rupa dan kecantikan yang tiada tolok bandingnya ketika itu. Sesiapa sahaja yang memandang pasti akan terpikat.

Paras kedua-dua puteri anak dewa dari kayangan itu bagaikan purnama menghias alam, bersinar-sinar bergemerlapan. Alis mata, yang lentik dan ekor mata seperti seroja biru di kolam madu.

Walaupun ketinggian tubuh mereka hanyalah sederhana tetapi suara mereka cukup merdu seperti seruling bambu. Inilah kelebihan yang terdapat pada Puteri Santubong dan Puteri Sejenjang.

Kehidupan Puteri Santubong dan Puteri Sejenjang amat mesra sekali. Mereka diibaratkan adik-beradik kembar. Senyuman dan kegembiraan sentiasa bermain dibibir. Bergurau dan bersenda tidak lekang daripada keduanya. Mereka sentiasa sepakat dan sekata. Demikianlah kehidupan yang mereka lalui setiap hari.

“Sejenjang, selepas selesainya kerja kita berdua ini, kita bermain-main, mahu?” Tanya Puteri Santubong kepada Puteri Sejenjang yang asyik menumbuk padi.

“Baiklah. Tapi kita mahu main apa ya?” balas Puteri Sejenjang.

“Kita main sorok-sorok di taman bunga di halaman sana. Lepas itu kita petik bunga-bunga yang telah mekar di taman.”

“Yalah Santubong! Sudah lama juga kita tidak memetik bunga-bunga di taman sana.” Menantikan saat itu, kedua-duanya meneruskan pekerjaan masing-masing hingga selesai.

Pekerjaan Puteri Santubong dari siang hingga malam hanyalah menenun kain. Manakala Puteri Sejenjang pula asyik dengan menumbuk padi.

Pada suatu hari, ketika Puteri Santubong leka menenun kain dan Puteri Sejenjang asyik menumbuk padi, berbual-buallah mereka tentang kecantikan diri masing-masing. Mereka memuji-muji tentang kelebihan diri sendiri.

“Sejenjang! Kau lihat tak diri aku yang serba tidak cacat ini! Dengan duduk menenun seperti ini, aku dapat menjaga kerampingan pinggangku ini. Aku pasti suatu hari nanti, bila anak raja sampai ke mari, dia akan melamar dan mengahwini aku. Aduh! Betapa bahagianya di saat itu, Sejenjang?” Tanya Santubong kepada Sejenjang yang asyik menumbuk padi.

Puteri Santubong terus memuji-muji akan kecantikan dirinya.

“Bila aku sudah diam di istana nanti, tentunya dayang-dayang mengelilingi aku, sambil menyikat-nyikat rambutku yang mengurai ini. Nanti mereka akan berkata, inilah anak dewa kayangan yang paling cantik pernah mereka temui. Saat itu akulah tuan puteri yang paling cantik di dunia ini.”

Puteri Sejenjang yang asyik menumbuk padi mulai merasa marah dan cuba menentang kata-kata Puteri Santubong yang menganggap dirinya sahajalah yang paling cantik. Puteri Sejenjang menyatakan dirinya yang paling cantik dan rupawan. Kecantikannya mengalahi paras rupa Puteri Santubong.

“Tidakkah kau tahu Santubong? Dengan cara berdiri menumbuk padi begini menjadikan tubuhku ini, kuat dan tegap. Subur menawan. Leher juga jinjang. Betis bagaikan bunting padi.”

“Dengan menumbuk padi ini juga jari-jemariku halus dan lenganku ini serasa tegap daripada engkau yang asyik bongkok menenun kain. Entah nanti, engkau cepat pula rebah ke bumi. Takut pula anak raja itu melamar aku dahulu,” balas Puteri Sejenjang.

Mendengar kata-kata Puteri Sejenjang, Puteri Santubong enggan mengalah. Puteri Sejenjang juga pantang menyerah. Masing-masing mahu dipuji. 

Akhirnya, pertengkaran antara Puteri Santubong dan Puteri Sejenjang semakin hangat. Masing-masing tidak dapat mengawal perasaan mereka lagi. Pertengkaran antara keduanya berlarutan.

Daripada nada suara yang rendah bertukar menjadi lantang sambil mencaci-caci dan menghina antara satu dengan yang lain.

“Sejenjang! Kalau asyik pegang antan, jangan harap betis kau tu akan jadi bunting padi. Takut lemak tak berisi. Dek antan tu jugalah jari-jemari kau tu, kesat dan kasar. Tidak seperti jari-jemariku ini yang halus serta runcing,” kata Puteri Santubong dengan bangga.

Dengan perasaan penuh dendam dan dengan amat marah, Puteri Sejenjang hilang sabar lalu menyerang Puteri Santubong dengan antan di tangan. Ayunan pukulan Puteri Sejenjang amat kuat dan cepat, lalu terkenalah ke pipi Puteri Santubong yang sedang duduk menenun kain. Menjeritlah Puteri Santubong kerana kesakitan.

Puteri Santubong bertambah marah. Puteri Santubong juga tidak berdiam diri, lantas menikam Puteri Sejenjang dengan batang belidah yang ada dalam genggamannya. Tikaman itu tepat ke arah kepala
Puteri Sejenjang dan menembusinya. Maka menjeritlah pula Puteri Sejenjang sekuat-kuatnya akibat kesakitan tikaman tersebut. Berakhirlah sebuah persahabatan dan persaudaraan yang telah dijalin oleh mereka selama ini.

Kononnya akibat pergaduhan dan ayunan antan puteri Sejenjang yang terkena ke pipi Puteri Santubong menyebabkan Gunung Santubong telah terpecah menjadi dua seperti yang dilihat pada hari ini. Demikian juga dengan tikaman batang belidah oleh Puteri Santubong yang mengenai tepat ke kepala Puteri Sejenjang, menyebabkan Bukit Sejenjang pecah bertaburan menjadi pulau-pulau kecil berhampiran Gunung Santubong.

Kisah sedih di antara Puteri Santubong dan Puteri Sejenjang akhirnya menjadi kenangan dan ingatan rakyat Sarawak. Maka lahirlah lagenda Puteri Santubong dan Puteri Sejenjang yang kita dengar sehingga ke hari ini.

Oh……Puteri Santubong,
Sejinjang sayang,
Kisah lama, Zaman mensia maya.
Puteri Santubong, Puteri Sejinjang,
Penjaga gunung Negeri Sarawak,
Manis sik ada dapat dilawan,
Anak dak Dewa turun kayangan.

Oh……
Santubong puteri bertenun kain malam,

Oh……
Sejinjang puteri menumbuk padi siang.
Satu hari nya dua kelahi,
Beranuk anuk sik renti-renti,
Seorang madah dirik bagus agik,
Seorang sik ngalah walau sampai ke mati.
Udah lejuk nya duak kelahi,
Lalu bertukuk nya duak puteri,
Sejinjang mengayun aluk ke pipi,
Tebik Santubong sampai gituk ari.
Tapi Santubong membalas juak,
Lalu ditikam batang belidak,
Sampei terkena Sejinjang kepala,
Lalu bertabor jadi Pulo Kera.
Kisah Santubong, kisah Sejinjang,
Asal berkawan jadi musuhan,
Kinik tuk tinggal jadi kenangan,
Pakei ingatan sepanjang zaman.


Sumpahan Mahsuri

( SUMPAHAN MAHSURI ) Dikatakan, kisah Mahsuri yang sinonim dengan Pulau Langkawi, berlaku sekitar pemerintahan Sultan Abdullah Muka...