Monday, May 29, 2017

Batu Belah Batu Bertangkup


Batu Belah Batu Bertangkup

Mak Tanjung tinggal bersama anaknya Melur dan Pekan di kaki Bukit Berapit. Sejak suaminya meninggal dunia, Mak Tanjung menjadi muram dan pendiam. Dia asyik bersedih hati. Kerjanya mencari akar kayu untuk dibuat ubat juga diabaikan.

Pada suatu hari, Mak Tanjung teringin makan telur ikan tembakul. Dia pun pergi ke sungai untuk menangguknya. Bukan main suka hatinya apabila dapat menangguk seekor ikan tembakul.

Sampai di rumah, Mak Tanjung terus menyiang ikan itu. Dia pun memberikan kepada Melur untuk digulai. “Masaklah ikan dan telur tembakul ini. Emak ingin makan telurnya,” kata Mak Tanjung.

Kemudian dia keluar mencari akar kayu. Selepas siap memasak gulai itu, Melur pun mengasingkan separuh telur tembakul. Diletaknya di atas para. Pekan makan gelojoh sekali. Apabila habis dia minta lagi.

Tidak lama kemudian Mak Tanjung pulang. Dia mahu makan.

Mana telur tembakul?” tanya ibu Melur.

“Sudah habis, emak. Pekan makan semuanya,” jawab Melur perlahan.

“Sampai hati kamu berdua,” kata Mak Tanjung kecil hati.

Sedih benar hatinya kerana anak-anak sampai terlupa kepadanya. Mak Tanjung merajuk lalu pergi ke dalam hutan.

Di hutan ada batu belah. Batu itu berpuaka. Kalau dia lapar dia akan terbelah. Kalau sudah dapat mangsa dia akan bertangkup.

Mak Tanjung melangkah laju ke arah batu berpuaka itu. Melur dan Pekan mengejar dari belakang. Kedua-dua orang anaknya itu berteriak sambil menangis. Melur dan Pekan mahu ibu mereka pulang.

“Groomm… grooommm…” Batu belah bersuara.

Melur dan Pekan berlari sekuat hati. Namun, apabila sampai di batu berpuaka itu, ia sudah tertangkup. Bayangan ibu mereka sudah tiada.

Esok paginya Nenek Kebayan jumpa Melur dan Pekan yang masih tidur. Mereka tertidur di depan batu belah setelah letih menangis. Ibu mereka tidak akan pulang lagi.

Sejak hari itu, Melur dan Pekan tinggal bersama Nenek Kebayan. Melur berjanji pada suatu hari nanti dia mesti hapuskan batu belah yang berpuaka itu. Dia dan adiknya terlalu rawan kerana ibu mereka mati di situ.

Masa berlalu. Melur menjadi gadis rupawan. Parasnya cantik dan menawan. Pekan pula gagah dan tampan.

Pada suatu hari, Raja Indera Sakti mengadakan temasya menyabung ayam. Diam-diam Pekan membawa ayamnya Jalak ke temasya itu. Pekan tidak memberi tahu Melur atau Nenek Kebayan.

“Hai orang muda, apa yang hendak kamu pertaruhkan?” tanya raja.

“Jika kalah, patik akan bekerja untuk tuanku, Jika menang patik hanya mahu hadiah sepasang pakaian,” jawab Pekan.

Baginda tersenyum tanda setuju. Jalak pun bersabunglah dengan ayam raja. Tidak diduga, Jalak menang apabila tajinya mencederakan ayam raja.
Pekan gembira. Dia akan dapat hadiah daripada Raja Indera Sakti. Tiba-tiba kakaknya, Melur merah kerana marah.

“Pekan, kau pulang sekarang. Jangan berani hendak mengambil hadiah selepas ayam itu cedera oleh taji Si Jalak!” kata Melur.

Raja Indera Sakti mendengar kata-kata Melur itu. Baginda melihat wajah Melur yang cantik rupawan. Petang itu satu rombongan dari istana datang ke rumah 
nenek. Mereka membawa cincin pinangan daripada raja.

Melur menerima pinangan baginda Raja Indera Sakti.

Tujuh hari sebelum hari perkahwinan antara Melur dengan baginda raja, satu rombongan pergi ke Bukit Berapit. Mereka membawa peluru dan meriam. Mereka membedil batu belah.


Pada hari itu juga baginda mengumumkan temasya menyabung ayam mesti dihentikan. Semenjak hari itu batu belah tidak mengaum lagi dan gelanggang sabung ayam pun tinggal lengang.

Sunday, May 28, 2017

Awang Yang Lurus


Awang Yang Lurus

Awang yang tinggal bersama-sama ayahnya. Ayahnya alim. Awang anak yang taat. Dia akan membuat apa sahaja yang disuruh.

Pada suatu hari, ayah Awang dipanggil membaca doa di rumah jiran. Sebelum pergi dia berpesan kepada anaknya.

“Jika ada orang memanggil ayah, kamu hendaklah segera memanggilku,” kata ayahnya.

Tidak lama kemudian ada orang datang memanggil ayah Awang. Dia pun memanggil bapanya dari rumah hinggalah ke tempat ayahnya berada. Dia termengah-mengah.

Apabila dia sampai, ayahnya marah kerana caranya yang tidak sopan itu. Ayahnya memberitahu pada waktu lain, Awang hendaklah berjalan dan memberi salam. Kemudian naik ke rumah, berjabat tangan dan baharulah berbisik ke telinganya.

Pada hari yang lain rumahnya terbakar. Awang teringat pesanan ayahnya. Dia pun berjalan lambat-lambat ke rumah di mana ayahnya sedang membaca doa. Dengan sopan dia memberi salam, naik ke rumah dan menjabat tangan semua yang hadir. Kemudian dia pun berbisik ke telinga ayahnya.

“Apa, rumah kita terbakar?” tanya ayah Awang. Ayahnya memarahi dia. Sayang, semuanya sudah terlambat. Rumah mereka sudah menjadi abu.

Awang dihalau oleh ayahnya. Akhirnya dia diterima bekerja sebagai pengawal istana. Sewaktu di istana dia telah disuruh oleh sekumpulan pencuri membantu mencuri harta raja. Awang yang patuh pun mengumpulkan semua peti harta.

Pencuri itu menyuruh Awang melepaskan peti harta di tembok. Apabila Awang melihat pencuri itu menanti di bawah tembok, dia pun menjatuhkan peti harta itu. Semua pencuri itu terhempap dan mati di situ juga.


Raja amat gembira lalu melantik Awang menjadi panglima.

Saturday, May 27, 2017

Siapa Lebih Bijak?


Siapa Lebih Bijak?

Pada zaman dahulu, ada seorang pengembara bernama Mat Lawi. Pada suatu hari, dia tiba di Kampung Manggis. Di kampung itu ada dua orang pemuda nakal bernama Hasan dan Husin. Mereka berkawan baik.

“Itu nampaknya orang luar. Mari kita kenakan dia” kata Hasan apabila ternampak Mat Lawi. “Kita ajak dia lawan bercerita. Kalau dia kalah, kita boleh dapat semua wangnya,” kata Hasan lagi.

“Kalau kita pula yang kalah?” tanya husin.

“Ah, tak kan kita kalah! Kita boleh kalahkan dia,” kata Hasan.
Mereka berdua pun menghampiri Mat Lawi.

“Kalau pak cik boleh bercerita tapi kami mengatakan cerita itu bohong, pak cik dikira menang. Kami sanggup melakukan apa sahaja yang pak cik suruh,” kata Hasan.

“Kalau pak cik kata cerita kami bohong, kami pula dikira menang. Pak cik kena serahkan semua wang pak cik kepada kami,” kata Husin.
Mat lawi berfikir sebentar. Kemudian dia berkata: “Baiklah, saya setuju.”

“Sekarang saya bercerita dulu,” kata Hasan.

“Waktu ibu mengandungkan saya, ibu mengidam hendak makan buah nangka. Saya pun keluar dari perut ibu lalu pergi membeli nangka. Nangka itu saya bawa pulang dan berikan kepada ibu,” kata Hasan.
Mat Lawi berfikir sebentar, kemudian menjawab:”Ya, cerita itu benar.”

“Baiklah, cuba dengar cerita saya pula,” kata Husin.

“Semasa berumur seminggu, saya turun ke tanah dan masuk ke dalam hutan. Saya bertemu seekor harimau yang besar. Saya segera melompat ke atas tengkuk harimau itu lalu mematahkan tengkuknya. Boleh pak cik percaya cerita saya ini?” tanya Husin.

“Ah, memang boleh dipercayai!” jawab Mat Lawi. Hasan dan Husin mula berpeluh!

“Sekarang giliran saya pula bercerita,” kata Mat Lawi.

“Tidak lama dahulu, ada dua orang pemuda menjadi hamba di rumah saya. Baru-baru ini mereka lari dari rumah saya. Saya mengembara ke sini kerana mencari merekalah. Rupa-rupanya mereka lari ke kampung ini. Mereka itu kamu berdualah!”

“Pak cik bohong. Kami tak pernah jadi hamba pak cik!” kata Hasan.

“Ha…ha…ha…! Kamu mengaku yang cerita saya ini bohong. Kamu berdua sudah kalah. Sekarang kamu mesti ikut saya pulang ke rumah menjadi hamba semula!” kata Mat Lawi.

“Oh, janganlah begitu pak cik. Kasihanilah kami pak cik,” rayu Hasan dan Husin.

“Mana boleh! Kamu sendiri yang berjanji begitu tadi,” kata Mat Lawi.

“Maafkanlah kami pak cik,” rayu Husin pula.

“Saya percaya, kamu berdua ini memang nakal dan sombong. Kamu mesti berjanji akan mengubah sikap. Barulah saya maafkan,” kata Mat Lawi.

“Baik pak cik. Kami berjanji tidak akan buat nakal lagi,” kata Hasan dan Husin.

Mereka berdua pun pergi dari situ dengan perasaan malu.



Pelanduk Berani Negeri Terbilang


PELANDUK BERANI NEGERI TERBILANG

Raja Iskandar Syah sangat suka berburu. Baginda mempunyai anjing perburuan yang baik-baik. Peran baginda juga memiliki ilmu dan firasat hutan yang tinggi. Mereka boleh menjejak pelanduk. Melihat jejaknya sahaja mereka boleh mengagak sebesar mana pelanduk yang lalu di sesuatu denai.

       Raja Iskandar Syah pandai memanah. Baginda juga mahir melempar lembing. Pada suatu hari, baginda berburu di sebuah hutan. Di hutan itu ada sebatang sungai. Bertam namanya. Pokok-pokok di situ tinggi-tinggi bagaikan mencapai awan.

       Di hutan itu baginda melepaskan anjing perburuan. Peran baginda mulalah melihat jejak pelanduk dan kijang yang lacuhdi atas tanah. Sesungguhnya binatang itu terlalu banyak di situ. Semasa memburu itu, banyaklah pelanduk dan kijang yang mereka temui. Namun, tidak seekor pun daripada binatang itu yang dapat dipanah atau dilembing. Pengiring-pengiring baginda juga tidak berjaya mendapatkan binatang buruan walaupun seekor.Sudah banyak pelanduk dan kijang yang dilembing oleh baginda. Namun, tidak seekor pun yang kena. Lembing baginda hanya tercacak di tanah.

       "Binatang di hutan ini sungguh tangkas dan cerdik," titah baginda. Setelah puas menjejak pelanduk dan kijang di kawasan pamah dan bukit-bukit yang rendah, Raja Iskandar Syah menghala ke arah sungai yang jernih itu. Sewaktu meredah semak-samun, baginda terdengar salakan anjing perburuan di tebing sungai.

       "Tentu anjing itu sedang mengejar pelanduk," titah baginda kepada pembesar. "Bunyi salakan anjing itu lain benar, Tuanku," kata peran yang berada di belakang baginda. Suara anjing semakin kuat. Baginda dan beberapa orang pengiring sudah berada di tebing sungai. Tiba-tiba semua mata tertumpu kepada seekor pelanduk putih yang cantik. Pelanduk itu melompat-lompat, laksana orang sedang membuka langkah silat.

       Raja Iskandar Syah sudah siap mengangkat busur serta anak panah. Panah itu mahu dilepaskannya. "Selincah mana kamu memencak sekalipun, anak panahku ini akan menembusi tubuhmu," titah Raja Iskandar Syah.

       Kedengaran suara anjing baginda sudah hampir benar. Benarlah kini pelanduk itu sedang berhadapan dengan anjing perburuan baginda. Sang pelanduk melompat lincah. Raja Iskandar Syah tidak jadi melepaskan panah. Baginda dan para pengiring terpegun melihat kelincahan pelanduk itu. Anjing perburuan baginda cuba menghampiri pelanduk itu sambil menyalak kuat. Ternyata anjing perburuan baginda berasa cuak akan pelanduk yang lebih besar daripadanya itu.

      Sang pelanduk terus melompat lincah. Anjing perburuan baginda dengan berani menerkam ke arah pelanduk yang tetap melompat lincah.

      Terkaman anjing perburuan baginda ternyata tepat pada sasarannya. Namun, sang pelanduk lebih waspada dan hati-hati. Sambil melompat tinggi, sang pelanduk membengkokkan kaki belakangnya. Apabila kaki hadapannya mendarat di atas tanah, pelanduk menerajang anjing perburuan baginda.

      Anjing itu tersungkur lalu jatuh ke dalam sungai. Pelanduk melompat-lompat lagi apabila melihat anjing itu bersusah payah berenang menyelamatkan diri. Seketika kemudian, pelanduk itu menghilangkan diri di dalam semak-samun.

      Raja Iskandar Syah dan para pengiring baginda terpegun melihat kejadian itu. Baginda kemudian berehat sambil bersandar pada sepohon kayu. Pohon itu rendang dan halus daunnya.

      "Sedangkan pelanduknya begitu berani. Baiklah tempat ini dijadikan negeri," titah Raja Iskandar Syah.

      "Benar seperti titah tuanku itu," kata pengiring baginda.

      "Apakah nama pokok tempat kita bersandar ini?" tanya baginda.

      "Pokok Melaka namanya, tuanku," jawab pengiring baginda.

      "Jika begitu, kita namakan negeri ini Melaka," titah baginda.

       Selepas itu negeri Melaka pun dibukalah. Di bawah pemerintahan Raja Iskandar Syah dan keturunan baginda, Melaka menjadi ternama dan masyhur. Rakyatnya hidup rukun dan damai di negeri terbilang.


HOPE U GUYS ENJOY 

Sumpahan Mahsuri

( SUMPAHAN MAHSURI ) Dikatakan, kisah Mahsuri yang sinonim dengan Pulau Langkawi, berlaku sekitar pemerintahan Sultan Abdullah Muka...