Monday, October 21, 2019

Sumpahan Mahsuri


( SUMPAHAN MAHSURI )

Dikatakan, kisah Mahsuri yang sinonim dengan Pulau Langkawi, berlaku sekitar pemerintahan Sultan Abdullah Mukarram Shah III (1778-1797) dan Sultan Ziyauddin Mukarram Shah II ibni al-Marhum Sultan Muhammad Jiwa Zainal Azilin Muadzam Shah (1797-1803) di Kedah, yang mana pada waktu itu, ibu bapa Mahsuri yang bernama Pandak Mayah dan Endak Alang baru saja berhijrah ke Langkawi dari Selatan Thailand, demi mencari masa depan yang lebih baik.

Kelahiran Mahsuri itu sendiri disulami dengan keajaiban apabila dikatakan sebenarnya Pandak Mayah dan Endak Alang tidak mempunyai anak walaupun telah lama berkahwin. Namun pada suatu hari, Pandak Mayah menemui kerak nasi yang mengeluarkan bunyi seakan bayi menangis sewaktu berehat setelah mengerjakan sawah. 
Kerak nasi tersebut dicampur sedikit dengan nasi yang ditanak, dan untuk berberapa lama, akhirnya Endak Alang hamil. Dan sewaktu Mahsuri dilahirkan dikatakan padi menguning seakan emas yang berkilauan. Kehadiran Mahsuri dalam kehidupan pasangan miskin itu membuka pintu rezeki yang luas apabila Pandak Mayah menemui lubuk kemenyan dan juga sarang burung layang-layang, yang kemudiannya menjualnya kepada pedagang-pedagang Cina dari Pulau Pinang. Sejak dari itu kehidupan tiga beranak itu berubah dan Pandak Mayah mula digelar Orang Kaya Pandak Mayah.

Mahsuri dididik dengan segala nilai seorang gadis melayu sejati, pelajaran agama yang cukup serta dikatakan juga Mahsuri diajar bersilat demi mempertahankan diri. Akhirnya Mahsuri membesar sebagai seorang dara pingitan yang menjadi sebutan dan rebutan kerana sifatnya dan tentunya kejelitaannya yang dikatakan cukup luar biasa. Kemahsyuran Mahsuri bukan setakat terbendung di Kampung Mawat dan Mukim Ulu Melaka-tempat tinggalnya, malah seluruh Pulau Langkawi. Namun selain dari kemahsyuran yang disebut orang, sedikit sebanyak membuahkan rasa iri hati terutamanya di kalangan kaum wanita, yang tidak senang melihat kebanyakan lelaki memuji-muji Mahsuri.

Ini termasuklah Datuk Pekerma Jaya Wan Yahya, Penghulu Langkawi iaitu wakil Sultan Kedah di Langkawi. Dan pastinya mengundang rasa resah yang meluap-luap dari isterinya, Wan Mahora. Rasa amarah membara apabila Wan Mahora mendapat tahu yang suaminya menyimpan hasrat untuk memperisterikan Mahsuri sebagai isteri kedua. Namun, Wan Darus, adik lelaki tunggal Wan Yahya juga menyimpan hasrat untuk memperisterikan Mahsuri. Demi mengelakkan rumah tangganya goyah, memandangkan Wan Yahya adalah pembesar di pulau itu, Wan Yahya merestui akan niat Wan Darus, walaupun dalam diam Wan Yahya masih menyimpan keinginan terhadap Mahsuri.

Majlis perkahwinan berlangsung dengan secara besar-besaran dan penuh meriah. Wan Mahora menerima Mahsuri sebagai iparnya walau pun jauh disudut hati, cemburu masih ada. Maka, bermulalah kehidupan Mahsuri sebagi isteri kepada Wan Darus dan dalam pada masa yang sama menyebabkan kekecewaan di hati kebanyakan lelaki yang gagal memilikinya, dan juga wanita, tentunya kerana kejelitaan yang dimiliki Mahsuri dan bersuamikan Wan Darus, yang dikatakan juga seorang pahlawan yang gagah perkasa serta tak kurang tampannya.

Namun dalam pada masa yang sama hubungan Kedah dan Siam bertambah keruh. Siam mula menakluki utara Kedah, menyebabkan perang berlaku. Baginda Sultan memerintahkan tentera dikerah dari setiap ceruk rantau negeri Kedah demi mempertahankan negeri. Dan dalam pada masa yang sama Mahsuri sedang hamil anak yang sulung. Datuk Pekerma Jaya memeperintahkan orang-orang Langkawi dikumpulkan untuk membantu tentera Kedah yang sedang berperang dan ini termasuklah Wan Darus.

Dengan hati yang berat Mahsuri terpaksa melepaskan suaminya yang tercinta pergi, tambahan pula Mahsuri seperti dapat merasakan yang beliau seperti tidak akan dpat berjumpa suaminya lagi. Untuk menghilangkan rasa rindu terhadap suami, Mahsuri berpindah ke rumah ibu bapanya, tambahan pula beliau sedang sarat mengandung. Setelah cukup sembilan bulan sepuluh hari, maka lahirlah tanda cinta antara Mahsuri dan Wan Darus, seorang bayi lelaki yang dinamakan Wan Hakim.

Namun, langit tidak selalunya cerah. Kedamaian hidup Mahsuri bakal berubah apabila seorang pendatang tiba berlabuh di pantai Langkawi, seorang lelaki muda bernama Deramang. Deramang dikatakan berasal dari sebuah tempat bernama Batu Bara di Acheh. Beliau mendapat perhatian oleh ayah Mahsuri, Pandak Mayah dan beliau ditawarkan bekerja untuknya membantu bercucuk tanam dan bertani. Namun selain dari rajin dan gigih, Deramang memiliki bakat semulajadi yang luar biasa iaitu kebolehan berdendang dan bersyair. Kebolehannya itu menarik perhatian penduduk setempat berkumpul dirumah Pandak Mayah hampir setiap malam, dan dengan ini menaikkan nama Mahsuri sekeluarga.

Kemahsyuran melimpah ruah yang diperolehi oleh Mahsuri itu ternyata tidak disenangi sesetengah orang, yang tentunya iparnya sendiri, Wan Mahora yang telah sekian lama menyimpan rasa dendam dihati. Tambahan pula kedudukannya sebagai isteri pembesar mula dilupakan orang, berbanding iparnya sendiri, Mahsuri. Iri hati yang telah lama tersimpan bertukar menjadi luka yang bernanah dan Wan Mahora mengambil keputusan, sampai masa Mahsuri harus menerima balasan! Sesuatu rancangan sedang bercambah dalam pemikirannya...

Wan Mahora memerhatikan keakraban Mahsuri dan Deramang dan disitu, beliau melihatnya sebagai peluang yang tak patut dilepaskan. Isteri pembesar itu membisikkan kata-kata racun kepada suaminya Datuk Pekerma Jaya Wan Yahya. Pada mulanya Wan Yahya tidak mengendahkan tapi apabila sudah tidak mampu menahan asakan, Wan Yahya bertindak untuk memerhatikan tindak-tanduk Mahsuri. Rancangan Wan Mahora berhasil apabila kebetulan suatu hari Deramang dilihat naik ke rumah Mahsuri yang tanpa disedari Deramang hanya diminta untuk menjaga anak Mahsuri, Wan Hakim, sementara Mahsuri berada di bendang. Lantas, Datuk Pekerma Jaya memerintahkan orang-orangnya, diketuai oleh Panglima Hitam, menangkap Mahsuri. Mahsuri diseret ke Balai Adat di sebuah tempat bernama Padang Mat Sirat untuk diadili bersama-sama Deramang. Dan tanpa diberi peluang untuk membela diri, Mahsuri dan Deramang dijatuhkan hukuman bunuh! Wan Mahora dalam diam tersenyum puas...

Pandak Mayah dan Endak Alang terperanjat dengan apa yang dikhabarkan orang mengenai anaknya lantas bergegas menuju ke Padang Mat Sirat demi membela Mahsuri. Pandak Mayah menawarkan segala emas, kerbau dan segala harta kekayaannya demi nyawa puteri tunggalnya namun ditolak mentah oleh Datuk Pekerma Jaya, dengan alasan, dosa yang dilakukan Mahsuri-bermukah dan melakukan hubungan sulit dengan lelaki lain tidak dapat diampunkan. Mahsuri dibawa ketempat hukuman dan diikat di sebatang pokok. Deramang cuba menentang namun berjaya dia dibunuh oleh orang-orang Datuk Pekerma. Dan kini tiba masa giliran Mahsuri.

Tempat hukuman tersebut dipenuhi oleh orang kampung yang ingin menyaksikan hukuman yang bakal diterima oleh Mahsuri. Pandak Mayah dan Endak Alang masih belum putus asa masih terus cuba merayu dari Datuk Pekerma dan Wan Mahora demi nyawa Mahsuri dan anaknya yang baru berusia dua bulan dan masih menyusu. Namun langsung tidak mendapat simpati dari pembesar itu. Padanya, aib yang dilakukan Mahsuri terlalu besar dan memalukannya sebagai ipar kepada Mahsuri. Sebatang tombak ditikam ke badan Mahsuri tapi dengan kuasa Allah, amat mengejutkan semua mereka yang berada ditempat hukuman, tombak tersebut langsung tidak dapat menembusi malah melukakan tubuhnya! Keadaan ini memaksa pertanda menikam Mahsuri bertubi-tubi. Ini menjadikan keadaan bertambah kalut, dan pastinya mencemaskan Wan Mahora, seandainya peristiwa aneh ini akan dapat membuktikan yang Mahsuri tidak bersalah pastinya akan mengundang aib kepadanya. Lantas Wan Mahora menyeksa Mahsuri demi memberitahunya akan rahsia bagaimana hendak membunuh Mahsuri.

Mahsuri yang terlalu lemah dan tidak bermaya sudah tidak mampu menahan seksaan dari Datuk Pekerma dan Wan Mahora, lantas dengan berat hati yang teramat sangat terpaksa memberitahu akan sebuah rahsia keluarga yang telah lama terpendam. Seorang utusan dititahkan bergegas ke Kampung Mawat, untuk mendapatkan sebilah keris pusaka keluarga Pandak Mayah yang didakwa Mahsuri, satu-satunya senjata yang dapat memutuskan nyawanya. Tanpa membuang masa apabila keris itu berjaya diperolehi, Datuk Pekerma sendiri mengambilnya dan menikam Mahsuri! Tikamannya menembusi rusuk kiri dan buah dada Mahsuri. Dalam keadaan lemah dan tidak bermaya, menantikan nyawa melepasi kerongkongnya...Mahsuri melafazkan kata-kata yang bakal diingati sepanjang zaman...

" Ya Allah, Ya Tuhan Yang Maha Melihat Segalanya, aku redha akan matiku jika benar aku bersalah tapi jika benar aku dianiaya...ssesungguhnya aku haramkan darahku mengalir ke bumi ini, dan aku sumpah, bumi Langkawi tidak akan aman, berpuakalah menjadi padang jarak padang tekukur selama tujuh keturunan!"

Dan lebih memeranjatkan, darah yang mengalir dari luka tikaman itu berwarna putih, membuktikan penganiayaan yang berlaku keatasnya...namun segalanya sudah terlambat. Mahsuri terkulai dan menghembuskan nafas yang terakhir. Kuasa Allah Yang Maha Besar, kilat sabung menyabung dan ribut melanda Padang Mat Sirat. Kejadian yang menyusul kematian Mahsuri membuktikan yang dia tidak bersalah dan orang ramai mula mengutuk tindakan membabi buta yang dilakukan oleh Datuk Pekerma Jaya. Tapi, segalanya sudah terlambat...

Wan Darus pulang ke Langkawi setelah kekalahan tentera Kedah di Kuala Muda namun kekecewaan yang sedang ditanggungnya bertimpa-timpa lagi apabila menerima berita kematian isteri tercinta. Harapan untuk kembali bersama keluarga yang sekian lama dirindui punah dan hancur. Dengan itu, bersama langkah yang berat, Wan Darus mengambil keputusan untuk meninggalkan Langkawi yang sudah tidak lagi menjanjikan kebahagiaan padanya, bersama anaknya Wan Hakim serta kedua ibu bapa mertuanya, Pandak Mayah dan Endak Alang. Tetapi, keadaan masih belum berakhir di Langkawi...

Tentera Siam mara keseluruh pelusuk Kedah, termasuklah Pulau Langkawi, genap tujuh hari selepas kematian Mahsuri. Segalanya punah, hancur dan kematian berlaku dimana-mana. Datuk Pekerma Jaya dibunuh dan dilapah oleh tentera Siam dan mayatnya dicampakkan di Sungai Langkanah. Manakala isterinya Wan Mahora, bersama wanita-wanita Langkawi yang lain, dirogol dan dijadikan hamba abdi oleh tentera Siam. Angkara hasad dengki dan fitnah, Langkawi menerima padah yang terlalu hebat. Penyesalan sudah tidak berguna lagi sebaliknya Langkawi hanya mampu menerima bahana, dan sumpahan Mahsuri kekal menghukum Langkawi untuk tujuh keturunan kemudiannya...

Sunday, October 20, 2019

Labah-labah Buncit




( LABAH-LABAH BUNCIT )

Dalam sebuah belukar tinggal seekor labah-labah. Sarangnya lebih besar daripada sarang labah-labah lain. Dahulu bapanya yang membuat sarang itu. Kemudian ia menambah di sekeliling sarang itu. Labah-labah itu berlari dengan pantas dari tengah ke tepi sarang. Ia menangkap mangsanya. Binatang yang ditangkap segera dimakan. Badannya semakin hari semakin besar. Perutnya buncit. Ia memang kuat makan. Perutnya sentiasa berasa lapar.

     Pada suatu hari, datang dua ekor labah-labah. Satu dari arah timur dan satu lagi dari arah barat. Kedua-dua labah-labah mahu menjemput labah-labah buncit makan kenduri. Kenduri itu diadakan pada waktu yang sama. Ia menjadi serba salah. Labah-labah buncit bertanya jiran-jirannya. Mereka juga mendapat jemputan. Jiran di kiri pergi ke jemput arah barat. Jiran di kanan pergi ke jemputan arah timur. Labah-labah buncit mendapat akal. Ia meminta kerjasama jiran-jirannya.
     Labah-labah buncit memberi tali kepada jiran-jirannya. Sesiapa yang makan dahulu tarik tali itu. Ia akan pergi ke sana dahulu. Tali itu diikatkan pada perutnya supaya tidak terlepas. Kedua-dua labah-labah itu pun pergi. Apabila jamuan dihidang, jiran kanan pun menarik tali dari arah timur. Pada masa yang sama jiran kiri menarik dari arah barat pula. Labah-labah buncit tidak dapat mengikut ke barat. Ia tidak sempat membuka ikatan perutnya.
     Kedua-dua jiran labah-labah buncit terus menarik tali masing-masing. Perut labah-labah semakin tercerut. Setelah tidak berjaya menarik, kedua-dua jirannya pun terhenti. Mereka menikmati hidangan. Selepas makan mereka pun pulang.
     Mereka dapati labah-labah buncit pengsan. Mereka cuba membuka tali yang tercerut di perut labah-labah buncit. Sayangnya mereka tidak dapat membuka ikatan itu. Beberapa hari kemudian labah-labah buncit sedar. Ia berjaya membuka ikatan di perutnya. Sejak itu ia tidak hiraukan makan. Perutnya tidak berasa lapar seperti selalu. Pinggangnya pun ramping bekas kena cerut. Hingga sekarang pinggang labah- labah kecil dan genting.

Wednesday, June 7, 2017

Mat Jenin


Mat Jenin

Syahadan, maka tersebutlah kisah seorang pemuda yatim piatu yang dikenali sebagai Mat Jenin. Pemuda itu hidup sebatang kara di sebuah desa di gerubuk peninggalan ibubapanya. Gerubuk itu teramatlah daifnya dengan dindingnya yang senget dan atap rumah yang bocor apabila hujan turun dengan lebatnya. Akan tetapi semua itu tidaklah dipedulikan oleh Mat Jenin kerana dia amat malas membuat kerja.

Malah untuk membaiki gerubuk pusaka itu pun tidak di pedulikannya. kerjanya pula sehari-harian hanyalah memasang angan-angan. Maka mashyurlah seluruh daerah itu tentang tabiat dan perangainya itu menjadi buah mulut orang. Akan apabila Mat Jenin berasa lapar, pergilah ia ke kedai makan dan duduk menunggu di situ kalau-kalau ada orang yang baik hati yang akan menanggung makan-minumnya.

Maka kalau ada sesiapa yang ingin berseronok, segeralah dia menegur Mat Jenin bertanyakan angan-angannya yang terbaru. Mat Jenin pun bersegeralah menceritakan angan-angannya itu tanpa bertangguh lagi apatah lagi jika yang menegur itu pula menyuruh dia meminta apa-apa makanan yang diingini. Maka Mat Jenin akan bercerita sehingga sehari suntuk tidaklah dia mahu berhenti.

Apabila kerbau sudahpun balik ke kandang, ayam dan itik pulang ke sarang, api menyala di dian, barulah dia balik ke gerubuk buruknya itu untuk tidur. Angin ribut yang bertiup pun tidak dibimbangnya, malah jikalau gerubuk buruknya bergegar dipukul angin, dia hanyalah menarik kain selimutnya dengan lebih rapat lagi sambil berangan-angan.

Katanya jikalaulah roboh gerubuk itu, tentulah jiran-jiran sekeliling akan membantu dia membina rumah baru. Jadi tidaklah lagi dia perlu bersusah-payah membaiki teratak buruk itu. Akan begitulah kerja Mat Jenin itu sehari-hariani. Jika apabila tidak ada orang yang hendak membayar makan-minumnya barulah dia mencari kerja. Tetapi kerja yang dibuatnya pula dipilih-pilih, tidaklah dia ingin membanting tulang di sawah padi kerana panas, ataupun pergi menangkap ikan kerana mabuk katanya. Oleh itu apa yang sanggup dilakukan oleh Mat Jenin hanyalah memanjat pokok kelapa, kerana menurutnya kerja itu teduh dan berangin pula. Itupun Mat Jenin hanyalah mengambil upah memanjat pokok kelapa apabila dia memerlukan duit belanja.

Tersebutlah pada suatu hari nasib Mat Jenin tidak begitu baik kerana tidak ada orang yang ingin membayar makan-minumnya. Maka terpaksalah dia mencari-cari sesiapa yang ingin mengupahnya memanjat pokok kelapa. Tetapi lebih malang lagi nasibnya itu, pada hari itu dia tidak berjumpa dengan sesiapa pun yang memerlukan kelapanya dipetik. Maka terpaksalah dia merayau-rayau sekeliling kampung dalam keadaan kelaparan. Sedang dia duduk berfikir-fikir seorang diri tentang apa yang perlu dilakukannya maka nampaklah olehnya seorang nenek tua sedang mendongak-dongak ke atas melihat-lihat buah kelapa.

"Nenek nak kelapa? Saya boleh tolong panjatkan." sapa Mat Jenin
Nenek itu berpaling ke arah Mat Jenin

"Memang nenek mencari buah kelapa untuk memasak. Boleh ke cucu tolong petikkan untuk nenek?"

"Sudah tentu boleh nenek. tetapi apa yang nenek boleh berikan kepada cucu sekiranya cucu tolong petikkan buah kelapa nenek?" tanya Mat Jenin.

Jawab nenek tua itu, "Nenek tak ada banyak benda nak nenek beri. Tetapi kalau cucu sanggup petikkan buah kelapa ini untuk nenek, bolehlah cucu makan sekali dengan nenek. Lagipun nenek boleh berikan beberapa biji telur ayam untuk cucu."

"Saya nak buat apa telur ayam tu." kata Mat Jenin.

"Telur ayam ini kalau cucu eramkan, nanti akan menetas. Bolehlah cucu membela ayam,"jawab nenek itu lagi. Mat Jenin duduk berfikir sejenak di dalam hatinya, kalau telur itu menetas sudah tentu aku akan dapat membela ayam untuk aku jual.

" Baiklah nenek, sangguplah saya memanjat kelapa ini untuk nenek."
Setelah berkata demikian, maka Mat Jenin pun mulalah memanjat pokok kelapa itu. Ketika mula hendak memanjat itu, dia asyik berfikir tentang kata-kata nenek itu maka hatinya bertambah girang.

"Kalau aku eramkan telur-telur itu tentulah telur-telur itu menetas. Bolehlah aku biarkan ayam-ayam itu sekeliling gerubuk aku sehingga besar. Apabila sudah besar bolehlah aku makan." Setelah berfikir demikian, dia pun berpaling kepada nenek itu dan berkata,

"Kalau telur-telur itu menetas bolehlah saya makan ayamkan, nenek?"
Nenek tua itu kehairanan tetapi terus sahaja menjawab "Betul cu."
Sambil Mat Jenin berangan-angan, dia terus memanjat pokok kelapa itu semakin tinggi.

"Tetapi kalau aku biarkan ayam-ayam itu bertelur tentulah semakin banyak ayam-ayamaku membiak. Jadi tentunya aku akan dapat banyak daging dan telur untuk aku makan.Tetapi kalau terlalu banyak tentu susah aku menjaganya. Jadi baik aku tukarkan ayam-ayam itu dengan kambing tentu lebih beruntung. Bolehlah aku biarkan kambing-kambing itu mencari makan di keliling gerubuk aku. Tak perlu aku bersusah payah memanjat pokok kelapa lagi. Dan lagi tidak perlulah aku risau-risaukan menjaga ayam-ayam itu banyak-banyak." fikirnya lagi.

Setelah berfikir demikian, dia pun berpaling kepada nenek itu dan berkata

"Kalau ayam-ayam itu saya jual bolehlah saya dapatkan kambing, kan nenek?" Nenek tua itu berasa geli hati mendengarkan kata-kata Mat Jenin itu tetapi dia terus menjawab

"Betul tu cu."

Mat Jenin memanjat semakin tinggi, sambil itu dia berangan-angan semakin tinggi,"Kalau aku sudah banyak kambing, aku akan tukarkan dengan lembu pula. Lagipun lembu itu lebih gemuk dan banyak dagingnya. Tentu aku bertambah kaya dan dihormati orang." Sekali lagi dia menoleh ke bawah melihat nenek itu,

"Kalau saya tukarkan kambing itu dengan lembu tentu lagi baik, kan nenek?" dia menjerit ke bawah. Nenek itu terus menjawab

"Betul tu cu.." sambil tersenyum-senyum, menampakkan gusinya yang tidak bergigi itu. Nasib baik Mat Jenin sudah jauh di atas pokok kelapa dan tidak nampak nenek itu mentertawakan dia. Mat Jenin semakin kuat berangan-angan,

"Kalau aku sudah dapat membela lembu, tentu aku dapat mengupah orang untuk menjaga lembu-lembu itu sehingga beranak pinak. Jadi aku akan dapat lebih banyak lembu, aku akan jadi kaya. Tak perlulah aku susah payah berkerja lagi . Bolehlah aku membela kerbau pula nanti."

Sekali lagi dia memekik ke bawah, "Nenek! kalau saya sudah banyak lembu bolehlah saya tukarkan dengan kerbau pula ye, nenek. Kayalah saya masa itu." Sekali lagi nenek itu menjawap,

"Betul tu cu." "Kalau cu sudah kaya bolehlah cucu berkahwin." tambahnya lagi. Mat Jenin mengangguk-anggukkan kepalanya, "Kawin!"

Dia terus memanjat semakin tinggi meninggalkan nenek itu sayup-sayup di bawah sana.

Ya!Ya! Kalau selama ini tidak ada perempuan yang ingin memandang mukanya kerana kemiskinannya, tentu akan berebut-rebutlah perempuan yang gilakannya setelah dia kaya nanti. Tetapi, masa itu dia tidak akan melayan perempuan- perempuan itu. Dia sudah pun kaya dan tentu dia dapat memilih siapa calon isterinya nanti. Ya! Ya! dia sudah tentu memilih isterinya dari perempuan-perempuan yang istimewa. Dia akan memilih puteri raja.

"Nenek! Saya akan kahwin dengan puteri raja." jeritnya ke bawah. Jawapan nenek itu hanya sayup-sayup, tidak didengarinya kerana dia sudah pun tinggi di atas pokok kelapa.

"Tentu aku akan mempunyai ramai anak." fikirnya lagi sambil tersenyum- senyum. "Dan mereka akan berlari-lari membuat bising. Isteri aku tentu akan mengidamkan perhiasan emas dan meminta dari aku. tetapi aku tidak akan beri. Kalau dia membuat bising, tentu aku akan tampar dia seperti ini." Serentak dengan itu Mat Jenin melepaskan pelukannya dan menampar pelepah kelapa itu sambil menengking

"Jangan nak mengada mintak barang kemas dari aku.", dan ketika itu bertempiaranlah seekor tupai yang sedang menyorok di celah pelepah kelapa itu, mengejutkan Mat Jenin dari angan-angannya itu. Mat Jenin terkejut besar sehinggakan terlepaslah pegangannya dari pokok kelapa itu.Maka jatuhlah dia dari pokok kelapa itu sampai ke bawah, berdebuk seperti buah kelapa tua yang luruh bunyinya.


Terkejutlah nenek tua itu melihatkan Mat Jenin terjatuh dan bersegeralah dia meluru untuk memberikan pertolongan Malangnya Mat Jenin telah mati di situ juga. Maka dengan itu tamatlah riwayat Mat Jenin yang terlampau suka berangan-angan sehinggakan menjadi mangsa angan-angannya itu sendiri. Demikianlah diceritakan orang kisah Mat Jenin yang malang.

Sumpahan Mahsuri

( SUMPAHAN MAHSURI ) Dikatakan, kisah Mahsuri yang sinonim dengan Pulau Langkawi, berlaku sekitar pemerintahan Sultan Abdullah Muka...